Kolonialisme
elektronik merupakan pergantungan
hubungan yang dibentukkan melalui import peralatan
komunikasi, perisian asing, bersama-sama dengan jurutera, juruteknik
dan protokol yang berkenaan. Kesemua ini secara tidak langsung
membentuk satu siri norma asing, nilai dan jangkaan, dalam tahap yang
berlainan, yang akan mengubah budaya serta proses sosialisasi
tempatan. Kehilangan, penyesaran, anjakan dan pelupaan nilai-nilai
tempatan menjadi sesuatu yang membimbangkan di negara dunia ketiga.
Kolonialisme elektronik pada abad ke-20 dilihat sama dengan
kolonialisme perdagangan pada abad ke-18 dan ke-19.
Kolonialisme
perdagangan mengambil kesempatan ke atas buruh yang murah; ia
melibatkan tenaga buruh secara fizikal untuk mengeksplotasikan sumber
tempatan. Namun kolonialisme
elektronik mengambil kesempatan ke atas minda manusia;
tujuannya adalah untuk mempengaruhi perangai, tingkah laku,
keinginan, kepercayaan, cara hidup, pandangan pengguna atau corak
pembelian pengguna(McPhail, 1987).
Justeru
itu, pengaruhnya amat kuat dan berupaya meninggalkan kesan yang
mendalam untuk jangka masa yang panjang. Ini merupakan suatu ancaman
sekiranya masyarakat kurang peka terhadap pergantungan tersebut malah
mengagung-agungkan perkara yang tidak harus diagungkan.
Negara
sedang membangun yang ingin bersaing pada masa depan perlu menceburi
bidang teknologi maklumat. Dalam hal ini, Malaysia tidak
dikecualikan. Malaysia ingin menjadi sebahagian daripada arena
antarabangsa dan memainkan peranan yang lebih penting dalam
mempengaruhi keputusan antarabangsa. Ini memaksa Malaysia mengambil
bahagian dalam hubungan antarabangsa. Pada masa yang sama, Malaysia
cuba menghindarkan kuasa antarabangsa di samping menjadi sebahagian
daripada dunia, yang melibatkan interaksi yang amat dengan negara
Barat. Negara Barat cenderung menyebarkan nilai budaya, politik dan
kewangannya.
Inilah
dilemma yang dihadapi Malaysia dalam pembangunan masa depan dan
pemimpin negara sedar bahawa ini merupakan satu ancaman. Justeru itu,
banyak pembangunan yang dijalankan dewasa ini lebih bercorakkan acuan
pembangunan tempatan. Cabaran utama kerajaan dalam era teknologi
maklumat adalah cara mengawal dan mengurus rangkaian teknologi
maklumat supaya memanfaatkan penduduk serta negara dan bukan
sebaliknya.
PENGETAHUAN DAN TANPA PENGETAHUAN
Terdapat
ramalan yang mengatakan bahawa perkembangan teknologi maklumat akan
membolehkan maklumat dan kemudahan komputer yang bernilai diwujudkan
secara global. Ini dikatakan akan memanfaatkan kepentingan masyarakat
kerana ia akan meningkatkan keupayaan penduduk dalam memahami,
pengaruhi dan mencabar tindakan & dasar kerajaan serta koperasi
besar yang mempunyai pengaruh ke atas kehidupan mereka(Laver, 1989).
Tidak
dapat dinafikan bahawa rangkaian teknologi maklumat akan mengukuhkan
hubungan yang mengikat individu kepada masyarakat. Namun ia juga
boleh dilihat sebagai pemisah di antara golongan celik maklumat serta
golongan tidak celik maklumat. Jurang tersebut boleh digiatkan dengan
suntikan teknologi maklumat secara mendadak. Malangnya, mereka yang
tidak celik maklumat biasanya adalah golongan miskin dan kurang
pendidikan, merekalah yang sebenarnya memerlukan faedah yang boleh
dibawa oleh maklumat.