Monday, 21 May 2012

Isu Teknologi Maklumat



KOLONIALISME ELEKTRONIK


Kolonialisme elektronik merupakan pergantungan hubungan yang dibentukkan melalui import peralatan komunikasi, perisian asing, bersama-sama dengan jurutera, juruteknik dan protokol yang berkenaan. Kesemua ini secara tidak langsung membentuk satu siri norma asing, nilai dan jangkaan, dalam tahap yang berlainan, yang akan mengubah budaya serta proses sosialisasi tempatan. Kehilangan, penyesaran, anjakan dan pelupaan nilai-nilai tempatan menjadi sesuatu yang membimbangkan di negara dunia ketiga. Kolonialisme elektronik pada abad ke-20 dilihat sama dengan kolonialisme perdagangan pada abad ke-18 dan ke-19.
Kolonialisme perdagangan mengambil kesempatan ke atas buruh yang murah; ia melibatkan tenaga buruh secara fizikal untuk mengeksplotasikan sumber tempatan. Namun kolonialisme elektronik mengambil kesempatan ke atas minda manusia; tujuannya adalah untuk mempengaruhi perangai, tingkah laku, keinginan, kepercayaan, cara hidup, pandangan pengguna atau corak pembelian pengguna(McPhail, 1987).
Justeru itu, pengaruhnya amat kuat dan berupaya meninggalkan kesan yang mendalam untuk jangka masa yang panjang. Ini merupakan suatu ancaman sekiranya masyarakat kurang peka terhadap pergantungan tersebut malah mengagung-agungkan perkara yang tidak harus diagungkan.
Negara sedang membangun yang ingin bersaing pada masa depan perlu menceburi bidang teknologi maklumat. Dalam hal ini, Malaysia tidak dikecualikan. Malaysia ingin menjadi sebahagian daripada arena antarabangsa dan memainkan peranan yang lebih penting dalam mempengaruhi keputusan antarabangsa. Ini memaksa Malaysia mengambil bahagian dalam hubungan antarabangsa. Pada masa yang sama, Malaysia cuba menghindarkan kuasa antarabangsa di samping menjadi sebahagian daripada dunia, yang melibatkan interaksi yang amat dengan negara Barat. Negara Barat cenderung menyebarkan nilai budaya, politik dan kewangannya.
Inilah dilemma yang dihadapi Malaysia dalam pembangunan masa depan dan pemimpin negara sedar bahawa ini merupakan satu ancaman. Justeru itu, banyak pembangunan yang dijalankan dewasa ini lebih bercorakkan acuan pembangunan tempatan. Cabaran utama kerajaan dalam era teknologi maklumat adalah cara mengawal dan mengurus rangkaian teknologi maklumat supaya memanfaatkan penduduk serta negara dan bukan sebaliknya.

PENGETAHUAN DAN TANPA PENGETAHUAN

Terdapat ramalan yang mengatakan bahawa perkembangan teknologi maklumat akan membolehkan maklumat dan kemudahan komputer yang bernilai diwujudkan secara global. Ini dikatakan akan memanfaatkan kepentingan masyarakat kerana ia akan meningkatkan keupayaan penduduk dalam memahami, pengaruhi dan mencabar tindakan & dasar kerajaan serta koperasi besar yang mempunyai pengaruh ke atas kehidupan mereka(Laver, 1989).
Tidak dapat dinafikan bahawa rangkaian teknologi maklumat akan mengukuhkan hubungan yang mengikat individu kepada masyarakat. Namun ia juga boleh dilihat sebagai pemisah di antara golongan celik maklumat serta golongan tidak celik maklumat. Jurang tersebut boleh digiatkan dengan suntikan teknologi maklumat secara mendadak. Malangnya, mereka yang tidak celik maklumat biasanya adalah golongan miskin dan kurang pendidikan, merekalah yang sebenarnya memerlukan faedah yang boleh dibawa oleh maklumat.

No comments:

Post a Comment